27 September 2016 - 03:39
Duterte "Berpatah Arang" Dengan Amerika Syarikat, Mahu Kerjasama Dengan Russia & China

Presiden Republik Filipina, Rodrigo Duterte mengulangi hasratnya untuk menjauhkan negaranya daripada Amerika Syarikat yang merupakan bekas penjajah negara tersebut.

Foto; Presiden Filipina, Rodrigo Duterte Reuters

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Republik Filipina, Rodrigo Duterte mengulangi hasratnya untuk menjauhkan negaranya daripada Amerika Syarikat yang merupakan bekas penjajah negara tersebut. 

Duterte mengulangi bahawa Filipina akan berusaha untuk membentuk hubungan yang lebih rapat dengan Russia dan China (dua buah negara yang benar-benar mencabar cita-cita Amerika untuk beroleh kepimpinan global). Di masa yang sama, beliau berkata bahawa hubungan dengan Amerika Syarikat tidak akan terputus sepenuhnya, ia cuma akan bergerak ke tahap yang akan membolehkan Manila untuk membentuk dasar sendiri secara bebas.

"Saya bersedia untuk tidak benar-benar memutuskan hubungan (dengan A.S) tetapi apa yang akan kami lakukan ialah membuka pakatan dengan China dan ... [Dmitry] Medvedev, beliau sedang menunggu di sana [Russia] sempena lawatan saya," kata Duterte, merujuk kepada Perdana Menteri Russia .

Kenyataan tersebut dikeluarkan beliau menjelang latihan bersama tentera laut Filipina dan Amerika Syarikat pada bulan Oktober ini. Latihan sedemikian selama ini berperanan untuk mengukuhkan pakatan ketenteraan di antara kedua-dua negara tersebut.

Duterte sebelum ini berkata beliau akan cuba untuk membatalkan perjanjian yang membolehkan tentera A.S untuk mengekalkan kehadiran mereka di selatan negara itu. Beliau juga berkata yang beliau akan membeli senjata dari Russia dan China untuk mengurangkan pergantungan Filipina terhadap Amerika dalam perihal pertahanan negara asia tenggara itu dan bahawa Manila juga tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang konflik maritim yang dimulakan oleh Washington, walaupun perjanjian yang dimeterai kedua-dua negara itu pada tahun 1951 menuntutnya untuk berbuat yang demikian.

Tentera kedua-dua negara berkata kenyataan presiden tidak akan menjejaskan kerjasama mereka.

Bercakap pada hari Isnin, Duterte juga menolak kebimbangan yang disuarakan oleh agensi Standard & Poor pada minggu lalu, yang mengatakan bahawa prestasi lembap ekonomi Filipina dan kenyataan-kenyataan kontroversi Presiden Duterte boleh mendorong mereka untuk menyemak semula penarafan negara tersebut.

"Jangan terlalu memikirkan tentang penilaian," kata Presiden. "Saya akan membuka Filipina bagi mereka untuk menjalankan perniagaan, pakatan perdagangan dan perniagaan."

Duterte mula memegang tampuk kuasa dengan janji untuk memerangi jenayah dadah sebagaimana yang telah beliau lakukan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Datuk Bandar Davao. Pendekatan beliau yang tegas dan telus di dalam memerangi jenayah narkotik menyebabkan beliau memperolehi gelaran "The Punisher" yang diambil sempena watak "vigilante" yang melawan kumpulan mafia . Watak itu muncul di salah satu siri komik terbitan Marvel.

Presiden itu berkata beliau mengalu-alukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat untuk menyiasat pembunuhan yang didakwa dilakukannya semasa kempen anti-dadah yang beliau lancarkan, tetapi dengan syarat siasatan tersebut dilakukan menurut undang-undang Filipina.